Doa Pagi Rasulullah dan Jiwa yang Tersesat di Zaman Kekeliruan

Pada setiap pagi yang bening, saat langit masih malu-malu menyinsingkan cahaya, Rasulullah SAW mengajarkan kita satu doa yang pendek, tetapi panjang maknanya:

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang halal, dan amalan yang diterima.”
(Hadis sahih, riwayat Ibnu Majah dan lain-lain)

Tiga perkara. Bukan tiga puluh. Tapi cukuplah tiga itu — ilmu, rezeki dan amal — untuk menjadi pelita sepanjang hidup, jika benar-benar kita fahami. Tiga perkara ini menjadi akar kepada pohon kehidupan. Jika akarnya sihat, insya-Allah pohon itu akan teguh. Jika akarnya rosak, maka rebahlah ia walaupun dahannya lebat.

Namun hari ini, apakah yang kita mohon setiap pagi? Dan apakah yang hati kita benar-benar rindukan?

Aku melihat manusia hari ini seperti terbangun dalam dunia yang penuh kabus. Langkahnya laju, tapi tujuannya kabur. Pagi-pagi bukan lagi diisi dengan tafakur dan doa, tetapi dengan skrin dan suara dunia. Sebaik mata dibuka, yang dicapai bukan Al-Quran, tetapi telefon. Jari lebih cepat meleret dari bibir melafaz zikir.

Kita disogok dengan “ilmu” dari media sosial — tetapi sejauh mana ia benar-benar ilmu? Tragedi letupan di Putra Heights, misalnya, membuka satu lagi lembaran kepiluan. Saat nyawa masih diselamatkan, bangunan masih berasap, tiba-tiba muncul ribuan “pakar” di ruang komen. Ada yang mengulas bagaikan jurutera, ada yang menuduh seakan hakim. Video tersebar sebelum siasatan selesai. Gambar dikongsi sebelum keluarga dimaklum. Dan lebih menyedihkan, teori palsu menjadi bahan bualan, menyuburkan kekeliruan di atas luka yang belum kering.

Di mana letaknya ilmu yang bermanfaat?

Ilmu yang bermanfaat itu bukan yang memuaskan rasa ingin tahu, tapi yang menenangkan jiwa dan menyatukan manusia. Ilmu yang bermanfaat tidak menjadikan kita bongkak kerana tahu, tetapi tunduk kerana sedar banyak yang kita tidak tahu. Ilmu itu bukan pada petahnya bicara, tetapi pada lurusnya akhlak.

Lalu, kita tanyakan pula: Bagaimana dengan rezeki yang halal?

Manusia hari ini semakin tidak sabar. Mahu cepat kaya, cepat berjaya. Lalu ramai yang lupa bertanya: “Dari mana datangnya rezeki ini?” Maka riba dinormalisasi. Penipuan dibungkus dengan bahasa manis. Amanah dicuri, tetapi wajah masih tersenyum di depan kamera.

Padahal rezeki itu bukan pada jumlah, tetapi pada keberkatan. Rezeki halal itu menumbuhkan ketenangan. Rezeki haram pula seperti racun dalam madu — manisnya sementara, tetapi musnahnya berpanjangan. Rumah besar, tetapi tidak damai. Kenderaan mewah, tetapi hati sesak. Semua itu bukan kerana kurang, tetapi kerana tidak halal.

Dan akhirnya, amalan yang diterima.

Berapa banyak amalan kita hari ini yang dibuat bukan kerana Allah, tetapi kerana manusia? Kita berkongsi sedekah bukan kerana ihsan, tetapi kerana kamera. Kita beribadah, tetapi mahu dipuji. Kita menulis tentang agama, tetapi niatnya untuk menang debat, bukan menyampaikan kebenaran.

Lalu, kita sangka itu semua akan dikira?
Sedangkan Allah hanya menerima yang ikhlas dan bersih.
Yang tak terpalit dengan riak dan tak tercampur dengan kebencian.

Kita hidup di zaman yang pelik. Zaman di mana orang alim bergaduh sesama sendiri, dan masyarakat awam bingung siapa yang benar. Zaman di mana agama digunakan untuk menjaga kuasa dan jawatan, bukan untuk membimbing ummah. Dan yang menjadi mangsa — orang awam yang tidak tahu, lalu tidak tahu bahawa mereka sedang tertipu.

Maka, di tengah semua ini, aku kembali merenung doa Rasulullah yang satu itu. Doa yang baginda ajar untuk dibaca setiap pagi. Doa yang seakan-akan dicipta untuk kita yang hidup di zaman penuh keliru ini.

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang halal, dan amalan yang diterima.”

Doa itu seperti air jernih di tengah padang pasir. Ia menyejukkan. Ia menyedarkan. Ia menyuruh kita kembali kepada yang asas — kepada ilmu yang benar, kepada rezeki yang suci, dan kepada amal yang tulus.

Kerana akhirnya, itulah yang akan menyelamatkan kita daripada kerugian yang Allah sebut dalam Surah Al-‘Asr:

“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali yang beriman dan beramal soleh, dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Aku menulis ini bukan kerana aku sudah baik. Malah aku paling pendosa di kalangan kita. Tetapi kerana aku takut aku termasuk dalam kerugian itu. Dan aku tahu, dalam dirimu juga pasti ada keresahan yang sama.

Maka, marilah kita mula semula.
Mulakan hari esok dengan doa yang satu itu.
Dan ulangi ia setiap hari, sampai ia menjadi nafas dan darah kita.

Semoga Allah mendengar.
Semoga Dia menerima.
Semoga Dia membimbing kita keluar dari kabus dunia ini, menuju cahaya yang sebenar.

Amin.

Jumaat Pagi

Ajib Adi
4-4-2025
Kuala Lumpur

Leave a Reply